A simple update berkaitan mama.

“Bila makcik-makcik nak sampai?” tanya mama.

“Ha?”

Teme bingkas bangun terduduk daripada berbaring di sofa bersebelahan dengan mamanya. Persoalan mamanya tadi membuatkannya sedikit keliru.

Mama bertanya lagi, “Semua dah siap-siap ke nak pegi kenduri?”

Teme terdiam. Berkerut dahinya.

Sekali lagi Teme terkeliru. Dia tidak ingat satu kenduri pun yang bakal berlaku pada hari itu. Matanya tidak berkelip memandang ke arah mama yang terbaring di katil hospital, masih lagi bertelekung selesai solat subuh bersama-sama tadi.

“Kenduri mana, mama?” tanya Teme. Mungkin mama tersalah cakap? Mungkin mama memaksudkan sesuatu yang lain?

Mama tidak menjawab persoalan itu, malah berkata, “Papa dan Tok Abah dah siap dah tu... Kang papa marah kalau Teme belum siap.”

“Tok Abah?” soal Teme dalam suara yang perlahan setelah mendengar nama atuknya itu.

Dia terkejut. Namun tidak terlalu ditunjukkan seperti tadi. Kata-kata mama kali ini meyakinkan Teme yang dia tidak tersalah dengar atau tersalah faham sejak tadi. Jelas, seperti ada yang tidak kena dengan mama.

Jika benarlah Tok Abah yang dimaksudkan oleh mama itu merupakan atuk Teme, orang itu telah meninggal dunia 17 tahun yang lalu.

Teme termenung. Ada yang tidak kena dengan mama.
...

Seperti yang mungkin sebahagian daripada kalian sudah tahu, mama saya telah mengalami sakit yang rumit sejak lebih 2 tahun yang lalu.

Sejak saya kongsikan tentang kesihatan mama saya kepada kalian akhir tahun sebelum ini, ramai yang bertanyakan perkembangan kesihatan mama. Baik hati kalian semua. Jadi, memandangkan ramai juga yang bertanya, dan saya sendiri yang membuka perkongsian tentang mama saya dahulu, maka tidak manis kalau saya tak cerita langsung akan perkembangannya.

Jadi, saya menulis kali ini untuk berkongsi sekali lagi. Ringkas sahaja.

Alhamdulillah, fizikal mama saya tidaklah lemah seperti dahulu. Mungkin hasil daripada doa orang yang baik-baik seperti kalian juga, banyak perubahan positif pada tubuh mama.

Tetapi, sakit yang dahulu itu telah mengakibatkan gangguan saraf pada minda mama saya. Banyak hal yang mama terlupa dan tertukar faktanya.

Alhamdulillah juga, mama saya masih ingat akan saya dan ahli keluarga yang lain. Walaupun banyak kali mama terlupa siapa yang masih hidup dan meningal dunia, lupa akan tempat, lupa akan banyak hal yang lain, syukur, mama masih ingat saya dan orang terdekat yang lain.

Bukan. Bukan alzhimer. Doktor kata bukan alzhimer. Maka, kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan keadaan mama seperti sediakala.

Walaupun masih lemah luarannya, jika dibandingkan dengan keadaan fizikal mama sewaktu mula-mula sakit dulu, sekarang mama dah banyak bertambah baik. Jika dulu mama hilang 20kg dalam 2 bulan kerana sakit, alhamdulillah kini berat badan mama stabil dan tidak turun mendadak.

Tetapi Allah tundakan satu nikmat yang lain. Nikmat mengingat dan nikmat menggunakan fikiran dengan sepenuhnya.

Mungkin juga, mama lebih rehat sekarang kerana banyak perkara yang mama tidak lagi mampu untuk fikirkan. Mungkin, mama lebih tenang sekarang kerana tidak lagi ingat akan banyak masalah, terutamanya kerisauan terhadap orang-orang sekeliling. Mungkin mama lebih bahagia sekarang kerana Allah rezekikan mama untuk tidak lupa ibadah. Walaupun minda mama tidak sesihat dahulu, mama tetap bangun sepertiga malam.

Tetapi kami sedang melalui kehilangan yang besar.

Tidaklah wajar untuk mementingkan diri sendiri dalam keadaan yang menanggung kesakitan itu ialah mama sendiri. Namun, saya hanya ingin berkongsi dan meluah.

Dari sudut saya, mama bukan hanya seorang ibu. Tetapi rakan baik saya. Rakan berbincang saya dahulu. Banyak saya tanya pendapat mama setiap kali saya buntu dalam penulisan. Lebih-lebih lagi mama merupakan bekas guru Bahasa Melayu sekolah menengah. Ketika saya menemani mama terlantar berbulan-bulan di hospital dahulu pun, kami masih boleh rancak berbincang dan bertukar buah fikiran.

Mama menguruskan banyak hal sebagai ibu dalam keluarga. Pasangan yang terbaik untuk bapa saya dalam mengharmonikan keluarga. Saat kami anak-anak sudah bekerja dan mula ada kehidupan sendiri pun, mama sentiasa ada. Jika tidak kami, mama sendiri yang akan hari-hari menghubungi anak-anak yang jauh di perantauan.

Namun buat masa sekarang, kami hilang semua itu.

Dulu, saat mama sakit pun, saya boleh berbincang berkaitan penulisan dengan mama. Mama minat nak dengar dan tahu akan apa idea saya, apa yang saya kerjakan. Novel terakhir yang saya sempat berbincang dengan mama sebelum mama mengalami gangguan saraf ialah Bayang Sofea. Kenangan saya video call mama meluah akan kesukaran mencari masa untuk menulis dan sebagainya masih segar.

Sekarang, tidak lagi. Kini saya tidak lagi boleh berbincang dengan mama, bukan setakat yang berkaitan penulisan sahaja. Apatah lagi berkaitan architecture. Malah, buat masa sekarang, mama sudah lupa pun yang saya seorang penulis. Sedih. Lebih-lebih lagi mama banyak beri pendapat dalam kesemua penulisan saya selama ini.

Yang mama tahu, saya tidak menetap di rumah. Ada kalanya, mama juga menyangka yang kami anak-anak ini masih kecil dan ada tidur di bilik masing-masing.

Saya harap, mama bahagia dan tenang bersama memori-memori yang tersisa sekarang walaupun hal itu tidak dapat diceritakan kepada kami.

Kata doktor, mama masih boleh pulih. Kata doktor, ini bukan alzheimer. Kalian doakan ya?
____


Pengakuan ringkas: Buat pembaca Rahsia Danny yang seakan-akan familiar dengan scene di awal tadi. Ya, kalian tidak salah, memang ada scene yang mirip dalam buku tersebut antara Danny dan bapanya (pada muka surat 93). Saya mengaku, adegan tersebut diinspirasikan daripada moment sebenar saya dengan mama, selepas solat subuh, ketika menemani mama di hospital. Hanya wataknya sahaja yang saya tukar. Topik partial dimentia yang saya sentuh dalam buku tersebut pun, lahir kerana saya selalu berfikir tentang mama.

Saya tak post link penulisan ini di mana-mana. Jadi yang mana baca tu, maka tahulah. Saya saja nak update je. Tak manis untuk saya tak update langsung berkaitan hal ni kat kalian.

Okay, itu saja setakat ini. Doakan mama saya ya?

Oh ya. Saya pun kurang sihat sikit akhir-akhir ni. Doakan Allah permudahkan semuanya ya?

Jaga diri semua!

Assalamualaikum!