My year end update & karya seterusnya.


Ketika saya menaip ini, saya duduk di sebelah mama saya yang terlantar di hospital. Ini, hospital yang keempat kami kunjungi. Sudah lebih setahun, mama saya diuji dengan kesakitan yang kompleks. Sehingga sekarang, kami masih belum ketemu ikhtiar yang benar-benar membuahkan hasil.

Ada yang tanya saya kenapa saya kurang aktif di social media sejak tahun lalu. Kini, saya akan jawab. Bukanlah saya tak nak ceritakan semua ini awal-awal tau? Cuma saya fikir, banyak lagi hal yang perlukan perhatian kalian terutamanya isu penghapusan etnik di Palestine sekarang dan lain-lain. Maka, cukuplah saya muncul sekali-sekala di media sosial.

Tetapi memandangkan hal yang saya lalui ini semakin berpanjangan, saya kira ada baiknya saya ceritakan sedikit kepada kalian agar kalian faham serba sedikit kerana ini melibatkan sisi hidup saya sebagai Teme Abdullah juga. Maka ia melibatkan kalian juga.

Jika saya kurang aktif di social media, mahupun kurang menulis atau berhenti menulis seketika selepas ini, sekurang-kurangnya kalian boleh tahu sebabnya. Maka takda lah kalian rasa saya sengaja menghilang atau mengabaikan tanggungjawab sebagai pengkarya. Saya tak terlintas pun nak sombong-sombong dengan kalian tau? Meh saya ceritakan.

Teori Pengakhiran Bayang Sofea


Pertamanya, terima kasih kerana sudi menghabiskan cerita Bayang Sofea dan memberi rating! Makin bersemangat saya nak terus menulis! Sebenarnya masih banyak yang saya perlu belajar untuk hasilkan penulisan yang betul-betul bagus. Tetapi kalian bermurah hati memberikan rating yang sangat tinggi! Terima kasih 🥹

Kini lebih kurang sebulan selepas hari terakhir Meet & Greet 2024. Dan Bayang Sofea masih lagi menjadi rebutan. Alhamdulillah. Bukan itu saja, buku-buku saya yang lain pun naik semula jualannya. Sampai saya rasa serbasalah dan takut pula dengan jualan kali ni hahahaha. Tapi tak tahu nak takutkan apa. Moga-moga, Allah jauhkan kita semua dari hal-hal yang buruk. Semua ini nikmat yang juga ujian buat saya. Insya-Allah, saya akan gunakan ia sebaiknya.

Semua ini takkan berlaku tanpa kalian, segolongan manusia yang percaya pada karya saya dan mempromosikannya pada orang lain juga sehingga jumlah kawan-kawan pembaca kita sudah seramai sekarang! Kalianlah the real MVP (Most Valuable Player)!

Walaupun banyak kali kehabisan stock, kini pembelian novel Bayang Sofea sudah dibuka semula (click here)! Ini pula link untuk kesemua 14 buku saya (click here).


Terus kepada topik berkenaan pengakhiran cerita Bayang Sofea.

Peringatan: Artikel ini mengandungi bocoran awal (spoiler) yang sangat-sangat berat. Jadi, jika anda merancang untuk membaca Bayang Sofea tanpa gambaran pengakhirannya, anda boleh bookmark, repost/retweet, share, atau biarkan artikel ini terbuka dalam tab dulu sebelum habis membaca Bayang Sofea. Kemudian, datang ke sini semula untuk kita sama-sama sambung 'berbincang'. Okay? Jika nak dapatkan dulu novel Bayang Sofea, klik sini.