“Bila makcik-makcik nak sampai?” tanya mama.
“Ha?”
Teme bingkas bangun terduduk daripada berbaring di sofa bersebelahan dengan mamanya. Persoalan mamanya tadi membuatkannya sedikit keliru.
Mama bertanya lagi, “Semua dah siap-siap ke nak pegi kenduri?”
Teme terdiam. Berkerut dahinya.
Sekali lagi Teme terkeliru. Dia tidak ingat satu kenduri pun yang bakal berlaku pada hari itu. Matanya tidak berkelip memandang ke arah mama yang terbaring di katil hospital, masih lagi bertelekung selesai solat subuh bersama-sama tadi.
“Kenduri mana, mama?” tanya Teme. Mungkin mama tersalah cakap? Mungkin mama memaksudkan sesuatu yang lain?
Mama tidak menjawab persoalan itu, malah berkata, “Papa dan Tok Abah dah siap dah tu... Kang papa marah kalau Teme belum siap.”
“Tok Abah?” soal Teme dalam suara yang perlahan setelah mendengar nama atuknya itu.
Dia terkejut. Namun tidak terlalu ditunjukkan seperti tadi. Kata-kata mama kali ini meyakinkan Teme yang dia tidak tersalah dengar atau tersalah faham sejak tadi. Jelas, seperti ada yang tidak kena dengan mama.
Jika benarlah Tok Abah yang dimaksudkan oleh mama itu merupakan atuk Teme, orang itu telah meninggal dunia 17 tahun yang lalu.
Teme termenung. Ada yang tidak kena dengan mama.
...
Seperti yang mungkin sebahagian daripada kalian sudah tahu, mama saya telah mengalami sakit yang rumit sejak lebih 2 tahun yang lalu.
Sejak saya kongsikan tentang kesihatan mama saya kepada kalian akhir tahun sebelum ini, ramai yang bertanyakan perkembangan kesihatan mama. Baik hati kalian semua. Jadi, memandangkan ramai juga yang bertanya, dan saya sendiri yang membuka perkongsian tentang mama saya dahulu, maka tidak manis kalau saya tak cerita langsung akan perkembangannya.
Jadi, saya menulis kali ini untuk berkongsi sekali lagi. Ringkas sahaja.
Alhamdulillah, fizikal mama saya tidaklah lemah seperti dahulu. Mungkin hasil daripada doa orang yang baik-baik seperti kalian juga, banyak perubahan positif pada tubuh mama.
Tetapi, sakit yang dahulu itu telah mengakibatkan gangguan saraf pada minda mama saya. Banyak hal yang mama terlupa dan tertukar faktanya.
Alhamdulillah juga, mama saya masih ingat akan saya dan ahli keluarga yang lain. Walaupun banyak kali mama terlupa siapa yang masih hidup dan meningal dunia, lupa akan tempat, lupa akan banyak hal yang lain, syukur, mama masih ingat saya dan orang terdekat yang lain.
Bukan. Bukan alzhimer. Doktor kata bukan alzhimer. Maka, kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan keadaan mama seperti sediakala.
Walaupun masih lemah luarannya, jika dibandingkan dengan keadaan fizikal mama sewaktu mula-mula sakit dulu, sekarang mama dah banyak bertambah baik. Jika dulu mama hilang 20kg dalam 2 bulan kerana sakit, alhamdulillah kini berat badan mama stabil dan tidak turun mendadak.
Tetapi Allah tundakan satu nikmat yang lain. Nikmat mengingat dan nikmat menggunakan fikiran dengan sepenuhnya.
Mungkin juga, mama lebih rehat sekarang kerana banyak perkara yang mama tidak lagi mampu untuk fikirkan. Mungkin, mama lebih tenang sekarang kerana tidak lagi ingat akan banyak masalah, terutamanya kerisauan terhadap orang-orang sekeliling. Mungkin mama lebih bahagia sekarang kerana Allah rezekikan mama untuk tidak lupa ibadah. Walaupun minda mama tidak sesihat dahulu, mama tetap bangun sepertiga malam.
Tetapi kami sedang melalui kehilangan yang besar.
Tidaklah wajar untuk mementingkan diri sendiri dalam keadaan yang menanggung kesakitan itu ialah mama sendiri. Namun, saya hanya ingin berkongsi dan meluah.
Dari sudut saya, mama bukan hanya seorang ibu. Tetapi rakan baik saya. Rakan berbincang saya dahulu. Banyak saya tanya pendapat mama setiap kali saya buntu dalam penulisan. Lebih-lebih lagi mama merupakan bekas guru Bahasa Melayu sekolah menengah. Ketika saya menemani mama terlantar berbulan-bulan di hospital dahulu pun, kami masih boleh rancak berbincang dan bertukar buah fikiran.
Mama menguruskan banyak hal sebagai ibu dalam keluarga. Pasangan yang terbaik untuk bapa saya dalam mengharmonikan keluarga. Saat kami anak-anak sudah bekerja dan mula ada kehidupan sendiri pun, mama sentiasa ada. Jika tidak kami, mama sendiri yang akan hari-hari menghubungi anak-anak yang jauh di perantauan.
Namun buat masa sekarang, kami hilang semua itu.
Dulu, saat mama sakit pun, saya boleh berbincang berkaitan penulisan dengan mama. Mama minat nak dengar dan tahu akan apa idea saya, apa yang saya kerjakan. Novel terakhir yang saya sempat berbincang dengan mama sebelum mama mengalami gangguan saraf ialah Bayang Sofea. Kenangan saya video call mama meluah akan kesukaran mencari masa untuk menulis dan sebagainya masih segar.
Sekarang, tidak lagi. Kini saya tidak lagi boleh berbincang dengan mama, bukan setakat yang berkaitan penulisan sahaja. Apatah lagi berkaitan architecture. Malah, buat masa sekarang, mama sudah lupa pun yang saya seorang penulis. Sedih. Lebih-lebih lagi mama banyak beri pendapat dalam kesemua penulisan saya selama ini.
Yang mama tahu, saya tidak menetap di rumah. Ada kalanya, mama juga menyangka yang kami anak-anak ini masih kecil dan ada tidur di bilik masing-masing.
Saya harap, mama bahagia dan tenang bersama memori-memori yang tersisa sekarang walaupun hal itu tidak dapat diceritakan kepada kami.
Kata doktor, mama masih boleh pulih. Kata doktor, ini bukan alzheimer. Kalian doakan ya?
____
Pengakuan ringkas: Buat pembaca Rahsia Danny yang seakan-akan familiar dengan scene di awal tadi. Ya, kalian tidak salah, memang ada scene yang mirip dalam buku tersebut antara Danny dan bapanya (pada muka surat 93). Saya mengaku, adegan tersebut diinspirasikan daripada moment sebenar saya dengan mama, selepas solat subuh, ketika menemani mama di hospital. Hanya wataknya sahaja yang saya tukar. Topik partial dimentia yang saya sentuh dalam buku tersebut pun, lahir kerana saya selalu berfikir tentang mama.
Saya tak post link penulisan ini di mana-mana. Jadi yang mana baca tu, maka tahulah. Saya saja nak update je. Tak manis untuk saya tak update langsung berkaitan hal ni kat kalian.
Okay, itu saja setakat ini. Doakan mama saya ya?
Oh ya. Saya pun kurang sihat sikit akhir-akhir ni. Doakan Allah permudahkan semuanya ya?
Jaga diri semua!
Assalamualaikum!
Assalamualaikum Teme Abdullah... Semoga mama Teme dan Teme dikurniakan kesembuhan diatas sakit yang menimpa. Semoga rasa sakit itu diangkat dan dikurniakan pahala buat kalian. Tidak lupa juga diberi kekuatan Teme sekeluarga atas ujian ini. Pasti ada hikmah yang Tuhan berikan. Selalu percaya akan takdir Tuhan, karna takdir Tuhan baik-baik saja. Semoga dipermudahkan urusan kalian...
ReplyDeleteAlhamdulillah.. terima kasih banyak2 teme sebab sudi update ttg mama.. 🥹 semoga Allah permudahkan semua urusan mama dan teme. Diberi kesembuhan buat mama teme. Teme jaga diri baik2 ya, cepat sembuh juga.
ReplyDeletesemoga mama teme cepat membaik, untung ibunya ada anak yang soleh. doakan saya dapat mrsm untuk tahun depan ya. byee
ReplyDeleteMay Allah ease your pain Teme. Moga Allah memberikan kesembuhan buat mama Teme dan Teme. Ayat ini mungkin cliche but Allah sentiasa ada, tak pernah sesaat pon lupakan kita. Keep fighting ✨
ReplyDeleteBtw, thanks Teme telah banyak pengajaran dan pedoman yang kami dapat melalui² penulisan Teme.
With things happening today, hari ni terasa nak visit sini.
ReplyDeleteJust to read latest article yang tak sempat habis baca sebelum ni.
Sementara dalam perjalanan nak ke hospital untuk melawat saudara.
Eh bila buka, perasan ada artikel yang macam tak pernah baca
atau nampak dikongsikan mana-mana.
Terasa hiba dan rindu bila baca.
Terima kasih, kerana kongsikan..
Semoga sembuh apa yang di dalam dada,
Dikurniakan syifa' buat semua..
Semoga Allah permudahkan,
Dibimbing sepanjang jalan..
Waalaikumussalam wbt.
You made me cry twice Teme
ReplyDelete😖😖😖😭😭😭😭
Teme jahat.
I cant stop crying man.
Baru je read dkt ig about your condition and now your mama. Tahu tak Teme, setiap kali saya baca penulisan Teme, setiap kali tu lah saya belajar satu benda yang pasti... 'Syukur'. Teme diuji sakit sampai tak boleh tidur while me diuji sakit yg saya tak jangka pun saya akan dpt sakit mcm tu but masih diberi kesempatan utk tidur and you know what Teme, lps baca condition kamu seteruk itu, saya rasa diri saya sangat teruk, sangat tak bersyukur.. And now pasal mama Teme, tolong jaga dia baik2, dan kalau tak pesan pun saya yakin Teme dah sehabis baik jaga mama Teme. And terima kasih update pasal mama Teme sbb saya nak tahu juga.... once Teme pernah cerita pasal mama Teme sakit.. saya jadi nak tahu condition sbb... mak saya pun diuji sakit yang sekejap dan Allah dah ambil dia semula hmmm... Semoga yang baik2 untuk Teme, mama Teme, keluarga dan orang yang Teme sayang.
Sekali lagi... kamu jahat ya Teme buat saya tak berhenti nangis......
Tujuan saya visit blog ni sebab nak baca post pasal Rahsia Danny.. tapi tiba2 ternampak posting pasal mama Teme. Kita yang membaca ni pon rasa sedih, rasa berat ujian yang Teme sekeluarga hadapi🥹 Semoga diberikan kekuatan buat kalian sekeluarga untuk harungi hari2 yang tak sama macam dulu. Semoga diberikan kesihatan buat Mama Teme and Teme. Chin up! Yall can can do this! Boleh2!! Tak tahu macam mana lagi nak boost kan semangat kalian. Jaga diri jugak Teme. Menulis bila dah ready okay. Rahsia Danny tu dah kira hadiah paling besar buat saya sebagai fans yang suka plottwist macam KTDD. Jadi, kami semua boleb tunggu. Yang penting, utamakan kesihatan dan kebahagiaan diri sendiri🌻
ReplyDelete